RAHSIA PERNIAGAAN DAN PEMASARAN RASULULLAH S.A.W.

Mentor Umat Islam

Bila kita sebut saja perniagaan, Nabi Muhammad S.A.W. adalah idola dan mentor ikutan seluruh ummat manusia. Allah telah anugerahkan kepada baginda bakat, kebolehan, akhlaq, kesabaran dan kebijaksanaan untuk cemerlang sebagai seorang usahawan dan konglomerat terungul di muka bumi.

Kita boleh rujuk secara jelas dan mutawatir (dipercayai sumbernya) melalui kitab-kitab yang muktabar tentang kehebatan baginda S.A.W. dalam berniaga. Ini adalah anugerah yang Allah Taala berikan kepadanya. Kita kena yakin dengan sesungguhnya bahawa Rasulullah S.A.W. adalah manusia terbaik menjadi ikutan manusia seluruhnya dalam apa jua lapangan dan aspek kehidupan.

 

Konsep Pemasaran

Kunci kejayaan Nabi Muhammad S.A.W. dalam menjadi saudagar yang berjaya sungguh banyak. Saya paparkan Konsep Pemasaran 4P yang baginda S.A.W. amalkan. Ianya salah satu elemen penting yang baginda S.A.W. lakukan secara bersungguh-sungguh dan konsisten dan perlu kita ikuti. Elemen ini sebenarnya telah diikuti oleh majoriti usahawan berjaya pada masa dahulu dahulu dan sekarang, cuma istilah yang diguna pakai diubahsuai dan sedikit berbeza, namun hakikatnya ia adalah sama.

Konsep Pemasaran 4P telah digunakan oleh nabi s.a.w. dalam sepanjang aktiviti perniagaan baginda sebagai panduan buat seluruh manusia supaya dapat mencipta kejayaan dan yang paling utama agar tidak mudah tergelincir dari landasan iman dan ehsan.

 

Selain mencegah perbuatan yang dilarang, konsep pemasaran yang Rasulullah S.A.W. amalkan ini mampu mendidik kita menjadi usahawan yang cemerlang pada masa yang sama menyumbang manafaat yang tak terhitung banyak kepada seluruh manusia.

 

Di bawah ini dibentangkan untuk panduan kita semua konsep pemasaran 4P yang Rasulullah S.A.W. menjadi tunjang kejayaan baginda S.A.W. Kita perlu jadikan konsep pemasaran 4P sebagai rujukan dan panduan untuk merangka dan mencipta berjaya dalam apa jua perniagaan yang kita ceburi.

 

1- Produk (Produk)

Nabi Muhammad S.A.W secara teliti dan serius memasarkan produk yang menepati citarasa pengguna. Selain itu kualiti produk menjadi elemen penting dalam urusniaga yang dilakukannya.

 

Firman Allah yang bermaksud : “Wahai manusia! Makanlah apa yang baik & dihalalkan di dunia dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan” (Al-Baqarah: 168)

 

2- Promosi (Promotion)

 

Perniaga adalah lebih menarik dan memberi manafaat melalui aktiviti promosi. Ianya perlu dilakukan dengan kaedah yang betul dan bijak kerana tanpa promosi yang betul dan menarik ia akan mengundang kegagalan demi kegagalan. Walau demikian, baginda tidak pernah melebih-lebihkan produk melalui kaedah promosi dengan maksud ingin memikat pembeli semata-mata, tetapi ianya diaplikasi dengan penuh berhati-hati dan bertanggungjawab.

 

Promosi sesuatu produk yang dilakukan adalah komunikasi dua hala yang penting antara penjual dan pembeli. Baginda S.A.W. menegaskan bahawa seorang peniaga yang baik dan bijak perlu bersungguh-sungguh menjauhi diri daripada sumpah atau janji yang melampaui batas.

 

Sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A. Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sumpah atau janji yang diucapkan untuk melariskan perniagaan dapat merosakkan keuntungan” (Hadith Riwayat Muslim)

 

Seterusnya dalam satu hadith lain Baginda S.A.W.bersabda : ” Yang dinamakan jualan palsu adalah usaha utk melariskan barang dagangannya, lagi berusaha dengan cara yang tercela” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

3- Penentuan Harga Barang (Pricing)

 

Harga sesuatu barang  jualan memainkan peranan yang sunguh penting. Semasa berlakunya proses penetapan harga, Rasulullah S.A.W. mengamalkan satu kaedah yang sungguh jelas dan adil.

Ianya dapat difahami dalam sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar : “Janganlah kamu menyaingi (secara tidak sihat) penjualan saudaramu sendiri” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Bila hadith ini diteliti betul-betul, dapat difahamai bahawa persaingan yang tidak sihat seperti perang harga yang melampau adalah dilarang. Sebaliknya Baginda S.A.W. mengesyorkan persaingan yang sihat dengan menfokuskan pada kualiti sesuatu produk dan meletakkan nilai hebat kepada pelangan berbanding produk sama yang telah ada ada di pasaran. inilah etika perniagaan Rasulullah S.A.W. yang wajib kita ikuti dan amalkan

 

4- Pemilihan Lokasi (Place)

Ramai maklum betapa pentingnya lokasi dalam perniagaan. Di zaman Rasulullah S.A.W. iaitu lebih 1400 tahun dahulu, faktor pemilihan tempat amat ditekankan oleh Baginda S.A.W. Semua pasar di sekitar Makkah menjadi tumpuan Baginda S.A.W. kerana baginya di situlah para pedagang dari luar (negara) berkumpul. Mereka mengadakan aktiviti jual beli dan pertukaran barangan dagangan yang dibawa.

 

Baginda S.A.W. berusaha bersungguh-sungguh untuk menempatkan dirinya di kalangan peniaga di sekitar Makkah terutamanya di pasar-pasar besar utama dan terkenal yang menjadi tumpuan sejak Baginda S.A.W. kecil lagi. Di sana juga Rasulullah S.A.W. secara aktif menjalinkan jaringan perniagaan dengan para pedagang tempatan dan luar Makkah. Baginda S.A.W. juga amat mementingkan hubungan yang baik dengan semua pelangannya.

 

Beberapa kaedah jual beli yang tidak adil dan zalim telah dilarang sama sekali, seperti strategi jualan yang boleh membebankan petani-petani di kampung dan juga bakal pelangan sekitarnya.

 

Ini dapat difahami dengan lebih jelas dalam hadith Baginda S.A.W. daripada Jabir R.A: ” Tidaklah dibolehkan penduduk kota menjadi perantara niaga bagi orang di desa. Biarkanlah orang memperoleh rezeki Allah satu daripada yang lain.” (Hadith Riwayat Muslim).

Secara keseluruhannya dapat kita faham bahawa Rasulullah S.A.W. melarang sama sekali semua strategi yang membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman terhadap mana-mana pihak. Ia wajib dielakkan dari diamal oleh semua peniaga. Etika dan amanah serta jujur dalam urusniaga amat penting. Dengan ini rezeki yang diperolehi dari urusan jual beli adalah berkat dan mendapat redha Allah Taala.

 

Wallaahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: