10 MASALAH BISNES DROPSHIP YANG ANDA KENA TAHU

Mungkin anda pernah buat atau sekurang-kurangnya dengar mengenai bisnes dropship. Alah, bisnes yang mudah tu kadang-kadang tak perlukan modal pun.. Stok pun tak perlu simpan, malahan tak perlu packing dan urus penghantaran. Sebab tu ramai yang suka buat dropship ni.

 

Mukadimah tadi memang best, tapi anda kena ingat!

 

Bila kita buat dropship ni khususnya secara online, beban kerja dan pengurusan bisnes ni kebanyakannya adalah di luar bidang kawalan anda.

 

Contoh satu flow dropship yang simple:

– Anda dapat pembeli > buat pesanan kepada pembekal > pembekal uruskan kesemuanya.

 

Itu sahaja..

 

Dan selalunya, berlaku pelbagai ralat jika di pihak pembekal atau anda sendiri gagal uruskan tempahan tadi dengan baik.

 

10 Masalah Yang Kerap Berlaku

 

Dalam artikel ini Tim Evo Bisnes cuba senaraikan 10 masalah yang sering terjadi dalam bisnes dropship dan bagaimana nak atasinya. Ianya adalah hasil pengalaman kami dalam bisnes dropship selama ini.

 

1 – Respon Yang lambat.

 

Pembekal mungkin mempunyai lambakan agen dropship atau mereka sibuk uruskan agen dan stokis lain. Mungkin juga mereka ada banyak pesanan yang nak diuruskan. Jadi ada kemungkinan mereka lambat respon pada pesanan anda.

 

Apa nak buat? Cuba wujudkan beberapa kaedah untuk berhubung dengan pembekal. Jika ramai agen, mungkin ada leader atau staf yang boleh bantu.

 

2 – Stok Habis.

 

Masalah ni sering berlaku apabila pembekal gagal update jumlah pegangan stok semasa kepada anda. Agen selalunya akan teruskan promosi kerana mengandaikan stok masih ada. Tambah sedih lagi jika prospek dah pun bayar…

 

Apa nak buat? Cuba berterus-terang dengan pelanggan jika masalah ini berlaku. Bersedia juga dengan pembekal lain sebagai langkah persediaan.

 

3 – Barang Lewat Sampai.

 

Ini sering terjadi dan selalunya memang diluar kawalan anda dan pembekal. Tambah lagi jika beban kerja penyedia kurier itu terbeban dengan load berlebihan (contoh semasa Cybersale, Black Friday dan sebagainya). Jika terlalu lewat mungkin akan timbul keraguan dari pihak pembeli.

 

Apa nak buat? Sentiasa update dengan tracking penghantaran dari pihak kurier. Simpan contact kurier yang berkenaan untuk sebarang pertanyaan nanti.

 

4 – Barang Tak Sampai-Sampai atau Tak Diterima.

 

Sepertimana masalh nombor 3 tadi, masalah ini juga diluar kawalan anda. Jika barang tak sampai-sampai, mungkin ada masalah di pihak kurier. Masalah juga sering berlaku jika alamat penerima terlalu umum atau alamat pejabat/premis. Mungkin ada orang lain yang menerima bagi pihak pembeli.

 

Apa nak buat? Langkah sama seperti solusi nombor 3 di atas. Boleh juga semak dengan data penerima yang direkod oleh pihak kurier untuk memastikan siapa sebenarnya yang menerima barang tersebut.

 

5 – Pembekal Salah Hantar Barang atau Salah Kuantiti.

 

Masalah sebegini sering berlaku bila pembekal ada banyak produk yang diniagakan dan pesanan juga banyak diterima.

 

Apa nak buat? Anda kena semak balik dengan pembekal berkenaan syarat atau polisi pemulangan dan pertukaran barang. Kalau tak ada, minta pembekal wujudkannya.

 

6 – Tersalah Membuat Pesanan Kepada Pembekal.

 

Kadang-kadang memang berlaku kerana pesanan yang terlalu banyak dan anda tersilap semasa membuat pesanan kepada pembekal. Mungkin salah barang, salah kuantiti atau salah alamat penerima.

 

Apa nak buat? Sentiasa re-check dan double check sebelum buat pesanan kepada pembekal. Cuba wujudkan satu cara pengurusan pesanan yang baik supaya senang dirujuk dan mengurangkan kadar kesilapan. Rujuk juga solusi di nombor 5 di atas.

 

7 – Masalah Pembayaran Diragui.

 

Tidak dinafikan ada juga segelintir prospek yang ‘agak nakal’ dan cuba menipu semasa berurusniaga seperti memberi bukti pembayaran yang palsu dan sebagainya. Ini sering berlaku jika transaksi secara manual.

 

Apa nak buat? Pastikan anda sentiasa menyemak butiran yang diberikan sebelum membuat pesanan kepada pembekal. Jika ada keraguan, rujuk kembali dengan pembeli yang berkenaan.

 

8 – Barang Yang Diterima Tak Seperti Yang Diiklankan.

 

Masalah ini juga berlaku mungkin kerana kesilapan bahan-bahan pemasaran (gambar dan data produk). Atau mungkin juga pembekal tidak berlaku jujur.

 

Apa nak buat? Perkara ini tak sepatutnya berlaku dan merupakan kesalahan yang besar. Namun jika terjadi, semak terms and conditions dan dapatkan pengesahan dari pembekal. Lebih baik jika anda cuba buat pembelian dahulu untuk diri sendiri sebagai kepastian.

 

9 – Barang Yang Diterima Rosak.

 

Ada kemungkinan barang yang diterima oleh pembeli rosak semasa dalam proses penyampaian sama ada rosak ketika packing atau penghantaran terutamanya bagi produk elektronik dan sensitif. Mungkin juga disebabkan bungkusan yang kurang kemas, faktor cuaca/suhu dan juga handling yang kurang baik.

 

Apa nak buat? Selalunya pembekal akan tanggung masalah ini dan anda kena tahu segala waranti serta terms and conditions yang dinyatakan.

 

10 – Pembekal Yang Bermasalah.

 

Jika nasib anda kurang baik, anda akan berhadapan dengan pembekal yang bermasalah. Mereka ini mungkin baru berjinak dalam perniagaan, baru amalkan sistem agen/dropship atau memang mereka ni kurang bertanggungjawab. Ada pembekal yang melepaskan tanggungjawab dan hanya biarkan agen yang melayan pembeli 100%.

 

Apa nak buat? Mungkin perkara ini tak dapat dielakkan. Jika pembekal masih baru, mungkin anda boleh sumbangkan pendapat atau cadangan penambahbaikan. Jika pembekal sememangnya bermasalah dan tak nak bertanggungjawab, wajib cari pembekal yang lain!

 

Kesimpulannya

 

Apa saja masalah yang terjadi sekalipun, hati pelanggan kena dijaga kerana apa yang mereka kata atau tulis sangat berkuasa. Lebih baik mereka sebarkan kebaikan anda dari bercakap tentang keburukan anda bukan? Berilah sesuatu sebagai ganjaran kepada mereka samada diskaun pembelian berulang, free gift dan sebagainya.

 

Apabila anda tak urus sendiri proses penyampaian produk, kesilapan boleh berlaku. Pastikan anda perhalusi SOP dropship dengan pembekal dan wujudkan SOP anda sendiri. Masalah mungkin tak dapat dielakkan namun boleh diminimakan.

Tim EvoBisnes - Dinor Sabudin

Dinor Sabudin a.k.a Cikgu Dropship merupakan seorang Infopreneur dan telah berkecimpung dalam dunia IM sejak 2009. Seorang pemain FB Ads dan Email Marketing tegar serta suka berkongsi ilmu melalui penulisan di blog, FB dan kelas-kelas bisnes online.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: